Pelajar 'boleh' mohon tambah cuti sekolah
Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis - Pelajar yang kembali dari luar negara selepas 23 Jun dinasihati memohon untuk memanjangkan cuti dan tinggal di rumah dalam langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kemungkinan berlaku penyebaran virus Influenza A (H1N1) kepada pelajar lain di sekolah.
Sehubungan itu guru besar dan pengetua diminta membenarkan pelajar sekolah mereka tinggal di rumah jika mereka kembali dari luar negara selepas 23 Jun, kata Pemangku Pengarah Sekolah-Sekolah, Awang Ibrahim Haji Abdul Rahman.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab selepas taklimat Influenza A (H1N1) di Auditorium, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan hari ini yang dihadiri kira-kira 200 pengetua, timbalan pengetua, guru besar, penolong guru besar serta guru kanan sekolah rendah dan menengah seluruh negara.
Dalam taklimatnya, Pegawai Perubatan Dr Linda Lai berkata mereka yang dijangkiti H1N1 hanya akan menunjukkan simptom penyakit dalam tempoh seminggu selepas dijangkiti.
"Oleh itu adalah bijak untuk membenarkan pelajar yang kembali dari luar negara supaya tinggal di rumah seminggu selepas kembali dari luar negara," katanya.
Taklimat itu bertujuan meningkatkan kesedaran guru mengenai Influenza A H1N1 dengan taklimat memberikan penerangan mengenai keadaan H1N1 terkini, keadaan dalam negara, penekanan kebersihan diri dan kebersihan di persekitaran sekolah, pengamalan mencuci tangan dan penggunaan termometer.
Dalam usaha untuk memantau dan menangani Influenza A H1N1, Kementerian Kesihatan juga memberikan sebanyak 1,000 unit termometer dan 10,000 topeng kepada sekolah di seluruh negara.
Termometer itu adalah bagi kegunaan guru untuk memeriksa suhu badan semua pelajar sebelum masuk ke kawasan sekolah atau sebelum memulakan kelas.
Sekolah akan mula dibuka pada 29 Jun selepas cuti sekolah penggal kedua dan pengagihan termometer dan topeng adalah sebahagian langkah pemantauan serta menangani Influenza A H1N1.
Sekolah-sekolah akan membuat pemeriksaan murid pada 29 Jun dan setiap pelajar tidak terkecuali daripada menjalani pemeriksaan itu oleh guru sekolah mereka.
Jika ada pelajar yang suhu badan mereka mencecah 40 darjah Celsius (tahap berjaga-jaga) atau tanda penyakit batuk selesema dan demam panas, guru dinasihati memakaikan penutup mulut kepada pelajar berkenaan, menghubungi ibu bapa atau penjaga pelajar terbabit.
Ibu bapa pula perlu membawa anak mereka mendapatkan rawatan segera di pusat kesihatan berdekatan dan dinasihati tidak menghantar anak mereka ke sekolah jika mempunyai tanda penyakit demam panas dan batuk selesema.
Sempena majlis itu juga, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Dato Paduka Haji Abdul Salam Abdul Momin menyerahkan termometer dan penutup mulut kepada Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan Haji Mohd Daud Haji Mahmud dan Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama Haji Ismail Haji Abdul Manap.
Awang Ibrahim dalam ucapan alu-aluannya berkata satu mesyuarat Influenza A H1N1 diadakan antara Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama pada 23 Jun.
Perbincangan itu menumpu pada pemantauan pelajar yang akan bersekolah setelah menghabiskan cuti penggal kedua melalui pembahagian termometer ke sekolah, mengenal pasti pelajar yang bercuti di luar negara, menasihati ibu bapa dan penjaga untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah jika mempunyai tanda penyakit demam panas dan batuk selesema serta memastikan guru kelas memeriksa semua pelajar dengan termometer sebelum kelas dimulakan.
No comments:
Post a Comment